G-HAIR


MALISA ...peneman VIP di meja judi
MALISA ...peneman VIP di meja judi

“Saya dianggap pembawa ‘ong’ (tuah) kepada golongan VIP kerana mereka selalu menang apabila membawa saya ketika berjudi di luar negara,” kata penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hanya mahu dikenali sebagai Malisa.

Dalam pengakuannya kepada Harian Metro, gadis berusia 20-an itu mendakwa dia memperoleh wang dengan cara mudah dan mampu hidup mewah dengan ‘kerjaya’ sedemikian. Tanpa berselindung, Malisa mengaku dia mula ‘gelap mata’ apabila mendapat upah sehingga mencecah RM3,000 hanya dengan menemani golongan VIP ketika berjudi.


Menceritakan bagaimana dia mula terjebak dengan kegiatan itu, Malisa berkata, dia dipengaruhi rakan sekuliah yang memaklumkannya cara memperoleh wang mudah dengan hanya menjadi ‘pendamping’ dan penyeri di meja judi kepada golongan VIP berkenaan.

Malisa berkata, rakannya itu mendakwa dia tidak perlu menyerahkan tubuh kepada VIP yang ditemani tetapi hanya perlu berdiri di sisi mereka ketika berjudi, kononnya untuk memberi tuah.


“Secara kebetulan, pada waktu itu saya memang mempunyai masalah keluarga dan amat memerlukan wang bagi menampung perbelanjaan projek di universiti untuk menamatkan pengajian.


“Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju mengikut rakan berkenaan untuk melakukan ‘kerja’ itu dan pada masa sama bertekad menjaga kehormatan saya dengan tidak melakukan hubungan seks dengan VIP yang saya temankan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurut Malisa, dia kemudian dibawa rakannya ke sebuah negara jiran sebelum ditemukan seorang lelaki bergelar Datuk di sebuah hotel bertaraf lima bintang di sana.


“Kami dilayan seperti puteri kerana segala perbelanjaan, seperti tiket penerbangan, penginapan, makan dan minum dibiaya Datuk itu bersama tiga lagi rakannya.


“Pada waktu malam, kami dibawa ke sebuah kasino di sana dan saya hanya perlu duduk di sisi Datuk berkenaan sambil berharap kehadiran saya benar-benar memberikan tuah kepadanya, selain bertepuk tangan jika menang,” katanya.


Malisa berkata, nasib menyebelahinya pada malam itu apabila Datuk yang ditemaninya menang dalam perjudian dan hasilnya, dia diberi upah sebanyak RM1,500.


“Sejak itu, saya semakin seronok melakukan aktiviti itu dan saya juga sudah mampu melakukannya bersendirian tanpa perlu mengajak rakan kerana sudah dikenali di kalangan VIP,” katanya.


Menurutnya, dalam aktiviti seterusnya sebagai gadis peneman VIP di meja judi, dia mendapat upah lebih lumayan dengan purata antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu sesi.


Kata Malisa, biarpun sedar kerjayanya itu tidak bermoral dan salah mengikut ajaran Islam, kemewahan diperoleh menyebabkan dia berasa tidak bersalah dengan apa yang dilakukan.


“Terus-terang, pekerjaan ini kini sudah sebati dengan diri saya. Saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai pekerjaan sambilan pada hujung minggu kerana saya masih lagi belajar. Saya juga tak takut dicekup pihak berkuasa kerana aktiviti saya dilakukan di luar negara,” katanya. Malisa berkata, selepas melakukan kegiatan itu selama hampir tiga tahun dia kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 untuk membolehkan dia membeli barangan seperti beg tangan dan pakaian berjenama, selain mengirimkan wang untuk ibu bapa di kampung. Bagaimanapun, Malisa sedar dia tidak boleh selama-lamanya melakukan kegiatan itu dan tahu wang yang diperolehnya tidak berkat, malah pengajiannya juga semakin merosot. “Duit yang saya peroleh habis sekelip mata, saya tidak ingat apa yang saya beli dan belanjakan untuk apa. Saya harap saya dapat berhenti melakukan pekerjaan ini dalam masa terdekat,” katanya.

Tidak seorang pun manusia di atas muka bumi Allah ini ingin hidup susah namun semua manusia inginkan keberkatan hidup untuk dijadikan bekal akhirat iaitu alam kekal selama-lamanya...adakah manusia lupa bahawasanya kehidupan kita ini hanya sementara sahaja, walaupun susah atau senang semua akan kita tinggalkan...

...Renung-renungkan lah...
G-HAIR


KENAIKAN harga barangan keperluan seperti sayur-sayuran turut menyumbang kepada peningkatan harga makanan di negara ini. - Gambar hiasan


Harga pelbagai makanan di negara ini didapati mulai melonjak secara mendadak sejak bulan lalu akibat kenaikan harga pelbagai barangan keperluan di pasaran.

Ketika ini, antara barangan keperluan yang naik di pasaran ialah bawang besar, bawang putih, kacang dal, rempah, ayam, daging, daging kambing, ikan, udang, sayur-sayuran, tepung beras, telur, susu pekat manis, biji kopi dan serbuk teh.

Hasil kajian yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati kenaikan itu berpunca daripada kenaikan harga barangan import dan peningkatan harga gas serta bahan api sejak kebelakangan ini.

Kesan kenaikan itu menyebabkan harga makanan turut mengalami kenaikan.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, kenaikan harga makanan itu disedari hasil kajian pegawainya di restoran dan pemilik gerai makanan di sekitar Pulau Pinang baru-baru ini.

“Bayangkan, satu hidangan sayuran yang dijual pada harga 60 sen enam bulan lepas kini dijual pada harga 80 sen hingga RM1.


'yang kaya terus kaya raya, yang miskin terus dengan kemiskinan'...

...Renung-renungkan lah...

G-HAIR

TERSEBAR...ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah yang disebarkan melalui facebook.
TERSEBAR...ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah yang disebarkan melalui facebook.

Tidak perlu berbelanja besar dan bersusah payah ke Makkah, sebaliknya hanya menjalani upacara ghaib dikenali sebagai ‘khatam batu’, pengikut sebuah ajaran sesat menganggap mereka sudah menunaikan Rukun Islam kelima serta menggunakan gelaran haji atau hajah.

Berdasarkan siasatan jabatan agama, ajaran sesat Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah itu didalangi seorang lelaki bergelar syeikh yang mempunyai pengikut sekitar Sungkai, Perak dan beberapa daerah berhampiran.

Ajaran yang diharamkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak itu turut memperkenalkan beberapa amalan lain yang bertentangan hukum syarak.

Bekas pengikut yang enggan namanya disiarkan mendakwa, ajaran sesat itu yang berkembang terutama di Kampung Menderang di Sungkai mempunyai kira-kira 100 pengikut terdiri di kalangan penduduk kampung.


Menurutnya, pada peringkat awal dia mengikuti ajaran yang turut terkenal di Indonesia itu, ia dilihat tidak jauh berbeza dengan tarekat lain yang cuba mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.


“Namun, agak menggusarkan apabila semua pengikut perlu mengikuti beberapa syarat awal sebelum menyertai tarekat itu antaranya diwajibkan mandi taubat dan sujud taubat.

“Selain itu, ada amalan mandi air zam-zam, kauthar dan mahfuz, kononnya bagi membuka hijab dan makrifat antara murid dengan syeikh berkenaan sebagai tok guru,” katanya.

Menurutnya, pengikut juga boleh melalui pengalaman dan melakukan Israk Mikraj seperti dilalui Rasulullah SAW.

“Ketika itu, saya mula sedar ajaran itu tidak masuk akal kerana hanya Rasulullah SAW diberikan mukjizat dan kelebihan untuk melalui pengalaman itu.

“Lebih pelik apabila pengikut boleh bergelar haji dan hajah tanpa perlu menunaikan ibadat itu di Makkah. Mereka hanya perlu melakukan ibadah itu secara ghaib melalui majlis dipanggil khatam batu, membabitkan zikir dan beberapa amalan lain,” katanya.

Menurutnya, terkini ajaran tarekat itu turut disebarkan melalui laman sosial facebook di Internet dalam usaha mencari lebih ramai pengikut.

Antara yang diketengahkan di laman sosial itu ialah perlunya setiap umat Islam menyertai tarekat terbabit kerana hanya dengan cara itu mereka memiliki tok guru dan itu kononnya satu kemestian di dalam Islam disebabkan Rasulullah SAW sendiri dikatakan memiliki guru iaitu malaikat Jibrail.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Mohd Yusop Husin berkata ajaran kumpulan tarekat terbabit diharamkan kerana ia didapati bertentangan amalan Tarekat Naqsyabandiah yang asal.

“Mereka melakukan amalan yang disandarkan kepada tarekat muktabar iaitu Terekat Naqsyabandiah, tetapi ada amalan tertentu yang diamalkan pengikut, berlawanan dengan tarekat sebenar.

“Antaranya mengerjakan ibadah haji secara ghaib atau dinamakan khatam batu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Yusop menasihatkan umat Islam berhati-hati dengan tarekat kerana bimbang mereka terjebak ajaran salah yang menyimpang akidah dan ajaran Islam.

“Ramai yang menyertai tarekat kerana mahu menjadi baik, tetapi ada amalan tertentu bertentangan hukum syarak.

“Justeru, kami meminta umat Islam berhati-hati dengan kegiatan seperti ini kerana ramai yang menggunakan Tarekat Naqsyabandiah atau nama tarekat lain yang muktabar, tetapi melakukan amalan terpesong.

Menurutnya, dalam soal tarekat, umat Islam mesti menyelidik dengan rapi siapa gurunya dan membuat rujukan terhadap amalan kerana dikhuatiri bertentangan Islam.

Sebelum ini, 14 ajaran atau kumpulan sudah difatwakan sebagai sesat di Perak iaitu Ajaran Azhar Wahab, Ajaran dan Amalan Ilmu Hakikat Hassan Jonit, Ajaran Islam Jamaah, Kumpulan Al Maunah, Ajaran dan Fahaman Anti Hadis serta Kumpulan Darul Arqam/Al-Arqam.

Ajaran lain ialah Tarian Bubu, Ajaran Ayah Pin, Syarikat Rufaqa’ Corporation, Ajaran Cahaya Qursani, Black Metal, Yoga, Pengkid dan Tidak Mendirikan Solat Jumaat Ketika Bersuluk.


"Macam-macam ada" itu lah ungkapan gurauan yang mendapat tempat di hati para insan di bumi Malaysia. Berita ini juga menjadi satu isu yang kurang enak di dengar tetapi manusia sering lupa keadaan mereka yang sebenarnya. Al Quran dan Sunnah adalah pegangan hidup umat Rasulullah s.a.w dari mula hingga akhirat. Namun ada juga manusia yang lalai dan leka dengan tuntutan hidup.

...Renung-renungkan lah...

G-HAIR
DEDAH...wartawan Harian Metro menemubual Lina yang  sanggup menjual tubuh sejak berusia 15 tahun.

DEDAH...wartawan Harian Metro menemubual Lina yang sanggup menjual tubuh sejak berusia 15 tahun.

Hanya RM10. Itu bayaran dikenakan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang masih bersekolah kepada rakan sekelas yang mahu mengadakan hubungan seks dengannya.

Remaja berkenaan juga tidak kisah melakukan perbuatan terkutuk itu pada siang hari di hotel murah pilihannya dan lebih memeranjatkan sudah melakukannya sejak berusia 15 tahun lagi.

Dalam pertemuan dengan wartawan Harian Metro, pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata, dia mula membabitkan diri dengan kegiatan tidak bermoral itu selepas dipengaruhi beberapa rakan wanita lebih tua yang dikenalinya ketika melepak di kompleks beli-belah di bandar raya ini.

“Ketika itu, saya memerlukan wang untuk membeli pakaian berjenama selain mendapatkan peralatan sekolah lebih lengkap, sedangkan keluarga tidak mampu menyediakannya termasuk buku latihan disebabkan faktor kemiskinan,” katanya.


Lina berkata, selepas menceritakan masalah kewangan dihadapinya, seorang rakan mempengaruhi supaya melakukan pekerjaan itu kerana boleh memperoleh wang dengan mudah.


“Pada mulanya, saya pelik dengan pekerjaan ditawarkan kerana dibawa ke sebuah bilik hotel dengan alasan untuk ‘ditemu duga’ sebelum didatangi seorang lelaki berusia sekitar 30-an.

“Sebelum berbual, saya melihat lelaki berkenaan menyediakan segelas air sebelum memasukkan sejenis pil lalu mengarahkan saya meminumnya dengan alasan untuk menghilangkan perasaan takut dan gemuruh,” katanya.

Katanya, selepas beberapa minit meneguk air berkenaan, dia berasa ghairah sebelum lelaki berkenaan mengarahkannya berbaring.

“Saya hanya tersedar beberapa jam selepas itu dalam keadaan tidak berpakaian. Pada masa itu, saya hanya mampu menangis, namun ditenangkan rakan itu sambil menunjukkan sejumlah wang untuk saya,” katanya.

Lina berkata, selepas kejadian itu, dia semakin ketagih untuk melakukan hubungan seks dan mula menawarkan diri kepada rakan lelaki yang dikenali saja.

“Selepas kejadian itu, saya sering mengulangi perbuatan sama terutama selepas waktu sekolah hingga mampu hidup senang.

“Bagaimanapun, disebabkan terlalu kerap melakukan hubungan seks dengan pelbagai lelaki, saya mengalami jangkitan kuman pada kemaluan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia berhenti daripada kegiatan itu dan akhirnya menyesal dengan apa dilakukannya.

“Mungkin itu balasan atas perbuatan saya kerana mahu mencari wang dengan mudah. Mujur saya tidak mengandung, jika tidak pasti nasib lebih buruk,” katanya.


Dunia sekarang sudah sampai ke kemuncak tunggu masa untuk khiamat. Manusia sudah kembali ke zaman jahilliah yang penuh dengan huru-hara sosial yang begitu hebat sehingga mendapat utusan dari Pencipta. Kita selalu dikejutkan dengan kes-kes sebegini, ini yang di ketahui yang tidak di ketahui masih lagi berkeliaran di dada dunia.

...Renung-renungkan lah...

G-HAIR

TERTEKAN...Balqis kini dihantui rasa berdosa
TERTEKAN...Balqis kini dihantui rasa berdosa

Akibat begitu mudah termakan pujuk rayu teman lelaki, seorang janda muda membuat pengakuan mengejutkan apabila memberitahu pernah menggugurkan bayi dalam kandungannya sebanyak tujuh kali dalam tempoh empat tahun.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Balqis, 32, berkata perkara tidak masuk akal dilakukannya itu bermula selepas dia bercerai dan berkenalan dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin pada 2007.

Menurutnya, lelaki itu berjaya memikat hatinya dengan pelbagai janji manis untuk mengahwininya dalam tempoh terdekat.

“Saya meletakkan harapan tinggi kepadanya apatah lagi dengan hidup saya yang terumbang-ambing selain perlu membesarkan tiga anak hasil perkahwinan pertama sebelum ini.


“Malangnya rasa cinta keterlaluan itu menyebabkan saya terlanjur melakukan hubungan seks berulang kali sehingga mengandung sebanyak enam kali.


“Saya membuat proses pengguguran haram di klinik swasta dengan bayaran RM300 bagi sekali ‘cuci’. Pada mulanya doktor di klinik itu tidak begitu kisah dengan permintaan saya, namun dia mula bimbang apabila saya mahu membuat pengguguran kali kelima.

“Doktor terbabit menasihatkan saya tidak lagi membuat pengguguran janin kerana bimbang ia boleh merosakkan peranakan selain boleh mendapat kanser rahim,” katanya.

Menurutnya, walaupun pernah terlintas rasa berdosa namun dia tetap melakukan perkara terkutuk itu kerana termakan dengan janji kekasihnya untuk berkahwin.

“Pernah sekali saya menanggung kesakitan amat sangat selepas menggugurkan kandungan berusia tiga bulan yang ketika itu sudah mempunyai bentuk bayi. Malah pernah juga saya ‘lekat’ mengandung semula hanya selepas dua bulan menggugurkan janin.

“Sepatutnya saya menjalani tempoh pantang seperti wanita bersalin, namun semua itu saya abaikan kerana faktor kerja selain bimbang diketahui rakan sekerja,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengambil cuti rehat antara empat hari hingga seminggu.

“Akibat terlalu kerap menggugurkan janin, saya mengalami tekanan hidup, murung selain kerap dihantui rasa berdosa. Lebih teruk apabila saya sering bermimpi kanak-kanak menangis ketika tidur.

“Sepanjang empat tahun itu, saya disahkan mengandung enam kali sebelum menggugurkan kandungan itu menyebabkan berat badan saya susut kepada 47 kilogram,” katanya.

Kehidupan yang kadang-kadang kita sendiri pun tidak menjangka apa yang akan berlaku di masa hadapan....selalulah kita berdoa agar di jauhkan dari perkara-perkara yang terkutuk.....Amin.

...Renung-renungkan Lah...

G-HAIR


NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.
NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.

HULU SELANGOR: Tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, bertindak samseng dengan mengugut untuk membunuh seorang guru disiplin, kelmarin.

Difahamkan, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati apabila guru terbabit enggan menerima buku teks yang mahu dipulangkan mereka.

Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan pihak berkuasa sejurus guru lelaki berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 11 pagi apabila tujuh pelajar sekolah berkenaan pergi ke pejabat sekolah bertemu pengetua untuk memulangkan buku teks yang enggan digunakan mereka.


Menurut sumber, tindakan tujuh pelajar itu yang berlagak samseng dengan meluru masuk ke pejabat sekolah tanpa meminta kebenaran bagaimanapun cuba dihalang guru berkenaan.


“Hairan dengan tindakan pelajar terbabit, guru disiplin itu bertanyakan tujuan mereka mahu berjumpa pengetua dan mereka memberitahu mahu memulangkan buku teks yang tidak mahu digunakan lagi.

“Guru itu menjelaskan kepentingan dan salah faham yang timbul mengenai buku berkenaan yang dianggap memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar,” katanya.

Namun, pelajar terbabit tidak puas hati dengan penjelasan guru itu dan menganggap dia sengaja menghalang mereka bertemu pengetua dan mula bertindak biadab dengan meninggikan suara.

Sumber berkata, guru disiplin yang tergamam dengan tindakan pelajar terbabit cuba menenangkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi kecoh apabila tiga daripada pelajar terbabit mengugut guru itu kerana mendakwa dia menyinggung perasaan mereka,” katanya.

Bimbang keselamatan diri berikutan ugutan pelajar terbabit, guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga pelajar itu.

Menurutnya, semua mereka ditahan dalam tempoh 24 jam bagi mengambil keterangan berhubung insiden itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Bernama memetik Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, sebagai berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan esok berhubung isu buku teks itu.

“Saya akan pastikan pelajar menerima kembali buku berkenaan kerana itu arahan kerajaan yang mengekalkan novel berkenaan sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan lima,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Kamalanathan berkata, berikutan kejadian itu, guru berkenaan sudah membuat laporan polis kerana mendakwa diugut abang seorang daripada pelajar itu pada Isnin lalu, manakala pelajar terbabit turut membuat laporan polis kerana perkataan yang digunakan guru itu.


Selepas kuasa merotan dimansuhkan keadaan pelajar jauh dari apa yang kita fikirkan, kalau pelajar dahulu dikawal dengan kuasa rotan tapi kini apa yang dapat mengawal pelajar-pelajar yang semestinya bermasalah. Kalau dahulu ibubapa dan pelajar menghormati guru tapi sekarang guru-guru menunggu masa yang sesuai untuk di saman oleh ibubapa dan pelajar-pelajar...

...Renung-renungkan Lah...

G-HAIR

Seorang ibu yang hanya mementingkan wang ringgit semata-mata hingga sanggup menjual anak kandungnya secara rela tidak ubah seperti orang gila kerana dia sudah hilang nilai kemanusiaan dan pegangan agama

Penceramah bebas, Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz, berkata tindakan itu lebih kejam daripada haiwan kerana haiwan contohnya kucing tidak akan menyerahkan anaknya kepada spesies lain.


Beliau berkata, sikap ibu yang melakukan perkara tidak munasabah dan boleh dianggap pelik sehingga menjual darah dagingnya sendiri kepada orang lain hanya akan mengundang lebih banyak masalah.

“Saya hairan bagaimana seorang ibu sanggup menjual anak mereka kepada keluarga lain selepas dia penat mengandungkannya sembilan bulan dan membesarkannya sehingga umur tiga tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Hassan merujuk laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang ibu menjual anak kandungnya yang berusia tiga tahun kepada individu baru dikenali semata-mata kerana wang.

...Renung-renungkan Lah...

G-HAIR
PERIKSA...anggota polis forensik memeriksa mayat bayi lelaki  ditemui dengan sejadah, semalam.
PERIKSA...anggota polis forensik memeriksa mayat bayi lelaki ditemui dengan sejadah, semalam.

Seorang pekerja pembersihan sebak sejurus menyedari bungkusan plastik hitam yang disapunya di lantai gerabak komuter, rupa-rupanya mengandungi mayat bayi lelaki baru dilahirkan dan masih bertali pusat.

Siti Khalijah Mat Zain, 37, menemui mayat bayi itu ketika menjalankan kerja hariannya membersihkan komuter dari stesen di Batu Caves yang berhenti di stesen terakhir di Pelabuhan Klang, jam 9 pagi semalam.


“Selepas semua penumpang turun, saya memulakan kerja menyapu lantai di gerabak hadapan. Tiba-tiba saya tersapu satu bungkusan beg plastik warna hitam di bawah kerusi penumpang, betul-betul belakang ruang pemandu. “Saya angkat beg itu dan mendapati ia agak berat. Saya bawa beg plastik itu keluar dan meletakkannya di atas kerusi tempat penumpang menunggu ketibaan tren komuter, tapi tak berani nak membukanya,” katanya.

Siti Khalijah berkata, dia memanggil rakan sekerja, S Kaliyani, 34, yang memberanikan diri membuka plastik itu sebelum kedua-dua mereka melarikan diri selepas melihat ada darah pada bahagian dalam plastik itu. “Kami meminta bantuan rakan lain dan mereka memaklumkannya kepada polis. Selepas plastik itu dibuka, saya sebak apabila melihat di dalamnya ada mayat mayat bayi lelaki yang sungguh comel, masih merah dan bertali pusat,” katanya.


Menurutnya, mayat bayi itu dibungkus dengan kain selimut dengan corak bunga berwarna hijau dan turut terdapat di dalam plastik hitam itu ialah sehelai sejadah bersama senaskhah surah Yasin.


Dia yang semalam genap empat bulan bekerja sebagai pekerja pembersihan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, penemuan mayat itu menyebabkannya hilang selera makan dan sedih mengenangkan kekejaman individu yang tergamak membuang bayi itu.

“Sedih betul bila tengok kain sejadah dan surah Yasin bersama bayi itu. Saya sendiri ada bayi berusia setahun lapan bulan. Jadi bila tengok mayat bayi itu ia sangat menyentuh naluri keibuan saya,” katanya.


Wartawan Harian Metro yang berada di lokasi kejadian turut melihat pasukan forensik mengambil sehelai rambut dipercayai milik suspek untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 9.15 pagi.


Mohamad berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu komuter itu mula memandu kereta api itu dari Pelabuhan Klang kira-kira jam 5.35 pagi menuju ke Batu Caves dan tiba di stesen Batu Caves pada jam 7.15 pagi sebelum kembali ke Pelabuhan Klang.


“Kami percaya mayat bayi berkenaan dibuang ketika komuter itu dalam perjalanan pulang ke Pelabuhan Klang. Siasatan awal mendapati tiada saksi melihat bagaimana bungkusan plastik hitam itu boleh berada di bawah tempat duduk penumpang,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.


Menurutnya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya di balai polis.

Saban hari cerita di dada-dada akhbar menyentuh ramai naluri ibubapa yang penyayang, apakah perkara seperti ini akan menjadi satu fenomena biasa bagi kita Rakyat Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi?...'Umat akhir zaman' itulah ungkapan yang perlu kita renungkan.....

...Renung-renungkan lah...

G-HAIR
PENGSAN...penagih arak murah terbaring akibat penangan minuman keras terbabit.
PENGSAN...penagih arak murah terbaring akibat penangan minuman keras terbabit.

Bukan akibat ilmu hitam atau disantau, namun ramai belia dilaporkan mengalami simptom muntah darah gara-gara ketagihan sejenis minuman keras digelar ‘tonik gila’ atau ‘samsu setan’.

Lebih mengejutkan apabila gejala penyakit berkenaan dikesan berpunca daripada kadar alkohol terlalu tinggi sehingga mencecah 43 peratus di dalam minuman terbabit, sekali gus mengancam nyawa individu yang ketagih minuman itu.


Gejala menakutkan ini kian serius selepas tinjauan mendapati minuman terbabit mudah dibeli hampir di semua kedai runcit dan kedai ubat tradisional Cina.

Tinjauan Harian Metro mendapati minuman terbabit dengan kandungan 150 mililiter itu dijual RM3.30 sebotol.


Hasil tinjauan di lebih 10 kedai runcit sekitar bandar raya ini, terdapat kira-kira lima jenama minuman keras yang dijual murah dengan kadar alkohol terendah 27 peratus.


Seorang penagih tegar minuman terbabit yang hanya mahu dikenali Man, 21, berkata dia kini menderita penyakit hepatitis atau bengkak hati akibat ketagih minuman itu sejak lebih setahun lalu.

Kehidupan belia yang seharusnya diambil perhatian yang lebih serius dari pihak yang membela rakyat untuk memajukan negara. Kalau begini keadaan belia pewaris tahta negara apa akan terjadi kepada negara yang di sayangan ini.

....Renung-renungkan Lah...

G-HAIR

KUALA LUMPUR: Ke mana hilangnya naluri keibuan seorang wanita apabila tergamak menjual anak kandungnya yang berusia tiga tahun kepada individu baru dikenali semata-mata kerana wang.

Lebih tragis, wanita terbabit yang berusia 30-an turut bekerjasama dengan anak angkat lelakinya yang berusia 17 tahun membelasah bekas suaminya sehingga cedera selepas lelaki itu marah dengan tindakannya.


Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di tempat kerja lelaki berusia 43 tahun itu di Taman Wilayah di Kepong, di sini, Isnin lalu. Difahamkan, kanak-kanak lelaki itu dijual kepada seorang lelaki dengan harga belasan ribu ringgit dan kanak-kanak itu dilaporkan kini berada dalam jagaan keluarga pembelinya di Pahang.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata lelaki itu dalam laporannya memberitahu dia beberapa kali menghubungi bekas isterinya selepas mendapat maklumat wanita terbabit menjual anak mereka.


“Dalam perbualan telefon, bekas isteri mangsa mengaku sudah menjual anak mereka menyebabkan berlaku pertengkaran.


“Pertengkaran itu tidak berakhir di situ apabila bekas isteri mangsa bersama anak angkatnya datang menyerang mangsa di tempat kerjanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, remaja berusia 17 tahun itu menumbuk muka mangsa beberapa kali sebelum mendakwa tidak takut kepada bapa angkatnya itu selain berani berdepan pihak berkuasa.


“Selepas itu, remaja terbabit memberikan amaran kepada mangsa supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka. Bekas isteri dan anak angkat itu kemudian meninggalkan mangsa,” katanya.

Zainuddin berkata, mangsa membuat laporan polis.


“Kepantasan pihak berkuasa bertindak membuahkan hasil apabila bekas isteri mangsa dan anak angkatnya itu ditahan kurang sejam selepas laporan polis diterima berhampiran rumah mereka.


“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak terbabit kini dilaporkan berada di Pahang dalam jagaan satu keluarga yang didakwa membelinya,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang 2007.


Menurutnya, wanita terbabit dan anak angkatnya kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.


Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit bercerai kira-kira setahun lalu dan tindakan wanita itu menjual anak kandungnya untuk mendapatkan wang dipengaruhi anak angkatnya berikutan dia tiada pekerjaan tetap.


Sementara itu, Zainudin menasihatkan orang ramai yang tidak mampu menjaga anak mereka supaya menggunakan saluran betul untuk menyerahkan zuriat itu untuk jagaan pihak lain dan bukan menjual anak mereka seperti barang dagangan.

Apakah manusia sudah lupa, yang kita hanya tinggal di dunia ini hanya sementara saja dan mati itu adalah benda yang paling hampir dengan kita, kenap anak yang tidak berdosa itu menjadi mangsa???? adakah alasan kesempitan hidup menjadi punca perkara seperti ini berlaku atau sebaliknya, hanya Allah yang lebih mengetahui..

...Renung-renungkan lah...

G-HAIR
MALANG...anggota polis menurunkan mayat mangsa.
MALANG...anggota polis menurunkan mayat mangsa.

MELAKA: Sebaik bertukar kerja di sebuah kilang di negeri ini lebih dua minggu lalu sikap seorang remaja tiba-tiba berubah begitu ketara sekali hingga menimbulkan rasa pelik kepada ahli keluarganya.

Malah, dia juga kerap dilihat bersembang menggunakan telefon bimbit selain berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan seseorang dipercayai teman wanitanya setiap hari.


Kelmarin, selepas memperoleh gaji, dia memberitahu rakan mengenai rancangannya untuk bercuti cuti selama tiga hari bermula semalam untuk pergi ke kampung kekasihnya, seorang gadis Orang Asli di Gapam, Jasin.

Namun, keluarganya menerima berita mengejutkan pagi semalam apabila remaja terbabit ditemui mati apabila mayatnya ditemui tergantung pada sebatang pokok jambu di Lorong Taman Ayer Keroh Height (TAKH) 7, dekat sini.


Difahamkan, akibat masalah cinta, remaja terbabit, Deklies Anak Dely, 19, berketurunan Bidayuh dari Kampung Sebobok, Bau, Sarawak itu nekad menggantung dirinya.


Mayat mangsa yang memakai kemeja-T lengan panjang putih, berseluar jeans dan kasut hitam serta membawa sebuah beg kecil ditemui seorang wanita di taman terbabit yang keluar berjoging sebelum memberitahu kepada penduduk lain yang menghubungi polis.

Menurut seorang saudaranya hanya mahu dikenali sebagai Alice, 36, sebelum bekerja di negeri ini, mangsa pernah bekerja di Singapura dan di Kuala Lumpur selama beberapa bulan.


Katanya, selepas Tahun Baru Cina lalu, mangsa kembali semula bekerja di sebuah kilang aluminium di Bukit Beruang.

“Malam tadi (kelmarin) saya lihat dia kelihatan biasa saja ketika menonton televisyen. Kami sekeluarga langsung tidak tahu bila dia keluar dari rumah sebelum disedari ibu saudaranya.


“Saya terkejut apabila seorang jiran memberitahu mengenai penemuan mayat seorang lelaki dipercayai membunuh diri kira-kira jam 9 pagi sebelum bapa saudaranya pergi melihat sendiri untuk memastikan perkara itu,” katanya yang tinggal berjiran dengan mangsa.


Menurutnya, dia perasan perubahan sikap mangsa yang gemar bersendirian ketika berbual dengan telefon bimbit dan berbalas SMS dengan seseorang.


“Saya syak dia mungkin putus cinta hingga sanggup ambil tindakan begini. Sebabnya saya difahamkan dia ada beritahu rakan sekerja dia hendak bercuti tiga hari untuk pergi ke rumah teman wanitanya di perkampungan Orang Asli di Gapam.


“Sungguh tidak sangka dan kami sekeluarga amat sedih dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.


Saksi, Zali Md Yunus, 45, berkata dia dan seorang rakan bergegas ke tempat kejadian selepas mengetahui kejadian itu daripada seorang penduduk kira-kira jam 7.30 pagi.


“Pada mulanya saya diberitahu penemuan mayat seorang pelajar menggantung diri di sini kerana mangsa memakai baju berwarna putih dan keadaan di situ agak terlindung dengan pokok selain sering dijadikan tempat pelajar melepak .


“Namun, sebaik tiba saya terkejut melihat sekujur tubuh lelaki dalam keadaan tergantung,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, Balai Polis Ayer Keroh menerima maklumat awam kira-kira jam 8.20 pagi sebelum sepasukan polis tiba melakukan siasatan di tempat kejadian.


Makin hari makin ketara berita-berita yang disiarkan telah mengubah persepsi kita tentang kehidupan manusia sekarang yang memilih jalan mudah untuk menyelesaikan masalah...adakah dengan membunuh diri akan dapat meneyelesaikan masalah????

....Renung-renungkan lah.....


Related Posts with Thumbnails