G-HAIR

TERSEBAR...ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah yang disebarkan melalui facebook.
TERSEBAR...ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah yang disebarkan melalui facebook.

Tidak perlu berbelanja besar dan bersusah payah ke Makkah, sebaliknya hanya menjalani upacara ghaib dikenali sebagai ‘khatam batu’, pengikut sebuah ajaran sesat menganggap mereka sudah menunaikan Rukun Islam kelima serta menggunakan gelaran haji atau hajah.

Berdasarkan siasatan jabatan agama, ajaran sesat Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah itu didalangi seorang lelaki bergelar syeikh yang mempunyai pengikut sekitar Sungkai, Perak dan beberapa daerah berhampiran.

Ajaran yang diharamkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak itu turut memperkenalkan beberapa amalan lain yang bertentangan hukum syarak.

Bekas pengikut yang enggan namanya disiarkan mendakwa, ajaran sesat itu yang berkembang terutama di Kampung Menderang di Sungkai mempunyai kira-kira 100 pengikut terdiri di kalangan penduduk kampung.


Menurutnya, pada peringkat awal dia mengikuti ajaran yang turut terkenal di Indonesia itu, ia dilihat tidak jauh berbeza dengan tarekat lain yang cuba mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.


“Namun, agak menggusarkan apabila semua pengikut perlu mengikuti beberapa syarat awal sebelum menyertai tarekat itu antaranya diwajibkan mandi taubat dan sujud taubat.

“Selain itu, ada amalan mandi air zam-zam, kauthar dan mahfuz, kononnya bagi membuka hijab dan makrifat antara murid dengan syeikh berkenaan sebagai tok guru,” katanya.

Menurutnya, pengikut juga boleh melalui pengalaman dan melakukan Israk Mikraj seperti dilalui Rasulullah SAW.

“Ketika itu, saya mula sedar ajaran itu tidak masuk akal kerana hanya Rasulullah SAW diberikan mukjizat dan kelebihan untuk melalui pengalaman itu.

“Lebih pelik apabila pengikut boleh bergelar haji dan hajah tanpa perlu menunaikan ibadat itu di Makkah. Mereka hanya perlu melakukan ibadah itu secara ghaib melalui majlis dipanggil khatam batu, membabitkan zikir dan beberapa amalan lain,” katanya.

Menurutnya, terkini ajaran tarekat itu turut disebarkan melalui laman sosial facebook di Internet dalam usaha mencari lebih ramai pengikut.

Antara yang diketengahkan di laman sosial itu ialah perlunya setiap umat Islam menyertai tarekat terbabit kerana hanya dengan cara itu mereka memiliki tok guru dan itu kononnya satu kemestian di dalam Islam disebabkan Rasulullah SAW sendiri dikatakan memiliki guru iaitu malaikat Jibrail.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Mohd Yusop Husin berkata ajaran kumpulan tarekat terbabit diharamkan kerana ia didapati bertentangan amalan Tarekat Naqsyabandiah yang asal.

“Mereka melakukan amalan yang disandarkan kepada tarekat muktabar iaitu Terekat Naqsyabandiah, tetapi ada amalan tertentu yang diamalkan pengikut, berlawanan dengan tarekat sebenar.

“Antaranya mengerjakan ibadah haji secara ghaib atau dinamakan khatam batu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Yusop menasihatkan umat Islam berhati-hati dengan tarekat kerana bimbang mereka terjebak ajaran salah yang menyimpang akidah dan ajaran Islam.

“Ramai yang menyertai tarekat kerana mahu menjadi baik, tetapi ada amalan tertentu bertentangan hukum syarak.

“Justeru, kami meminta umat Islam berhati-hati dengan kegiatan seperti ini kerana ramai yang menggunakan Tarekat Naqsyabandiah atau nama tarekat lain yang muktabar, tetapi melakukan amalan terpesong.

Menurutnya, dalam soal tarekat, umat Islam mesti menyelidik dengan rapi siapa gurunya dan membuat rujukan terhadap amalan kerana dikhuatiri bertentangan Islam.

Sebelum ini, 14 ajaran atau kumpulan sudah difatwakan sebagai sesat di Perak iaitu Ajaran Azhar Wahab, Ajaran dan Amalan Ilmu Hakikat Hassan Jonit, Ajaran Islam Jamaah, Kumpulan Al Maunah, Ajaran dan Fahaman Anti Hadis serta Kumpulan Darul Arqam/Al-Arqam.

Ajaran lain ialah Tarian Bubu, Ajaran Ayah Pin, Syarikat Rufaqa’ Corporation, Ajaran Cahaya Qursani, Black Metal, Yoga, Pengkid dan Tidak Mendirikan Solat Jumaat Ketika Bersuluk.


"Macam-macam ada" itu lah ungkapan gurauan yang mendapat tempat di hati para insan di bumi Malaysia. Berita ini juga menjadi satu isu yang kurang enak di dengar tetapi manusia sering lupa keadaan mereka yang sebenarnya. Al Quran dan Sunnah adalah pegangan hidup umat Rasulullah s.a.w dari mula hingga akhirat. Namun ada juga manusia yang lalai dan leka dengan tuntutan hidup.

...Renung-renungkan lah...

0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails