G-HAIR
SELEPAS 25 tahun menghadapi pahit getir menguruskan perniagaan, kini Noraini Ahmad, 54, sudah boleh tersenyum lega kerana Noraini's Cookies diambil alih tiga daripada lima anaknya.
MESIN...semua biskut dihasilkan menerusi mesin canggih berteknologi tinggi.
MESIN...semua biskut dihasilkan menerusi mesin canggih berteknologi tinggi.

IBU DAN ANAK...Noraini bersama anak sulungnya, Dr Helmee Effendee bekerja keras memajukan perniagaan Noraini’s Cookies. PELBAGAI....antara produk yang dihasilkan Noraini’s Cookies.


IBU DAN ANAK...Noraini bersama anak sulungnya, Dr Helmee Effendee bekerja keras memajukan perniagaan Noraini’s Cookies.

Wanita kelahiran Sungai Manggis, Banting Selangor ini pernah berhasrat menjual Noraini's Cookies kerana mahu menumpukan perhatian kepada ibadat dan keluarga tetapi anak sulungnya Dr Helmee Effendee Norsham, sanggup berhenti kerja dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.

Menurut Dr Helmee Effendee, apabila ibu menyatakan hasrat menjual jenama Noraini's Cookies, dia merasakan sangat terpukul. Sebagai anak sulung dia merasai kesusahan ibunya yang bekerja bertungkus-lumus memajukan perniagaan.
"Bayangkan 25 tahun ibu sanggup menghadapi semua cabaran dan mengapa sekarang mahu menyerah kalah? Sebab itu saya mengambil keputusan berhenti kerja walaupun ketika itu kerjaya saya sudah berada di puncak," katanya.


Selain Dr Helmee Effendee, anak kedua, Hezir Effez Norsham, berkelulusan kejuruteraan komputer sanggup melepaskan jawatan sebagai jurutera semata-mata menguruskan enam kilang di Kazakhstan yang memasarkan sosej, spageti, mi segera dan piza. Anak ketiga pula, Hezlee Ezha Norsham ditugaskan menguruskan akaun syarikat.


Menceritakan pembabitan awal dalam perniagaan, menurut Noraini, pada 1984 dia bermula secara kecil-kecilan dengan menjual kain ela dan pinggan mangkuk. Selepas melahirkan anak ketiga, Noraini mengambil keputusan berhenti kerja kerana menghadapi masalah ketiadaan pembantu rumah.


"Ketika itu saya tercari-cari pekerjaan sesuai untuk mencari sumber pendapatan membantu suami. Disebabkan minat memasak, saya mula membuat nasi lemak, bihun goreng dan kuih-muih untuk dibawa ke pejabat suami.


"Pada masa itu tidak terlintas langsung untuk mengembangkan perniagaan sehingga rakan suami memberi rasa kuih tradisional saya kepada seorang chef di sebuah hotel di Petaling Jaya.


"Selang beberapa hari, chef terbabit meminta saya membawa beberapa contoh kuih," katanya.

Dengan sambutan yang sangat menggalakkan pada 1984, Noraini's Enterprise ditubuhkan dengan membekalkan kuih-muih kepada 14 hotel sekitar Lembah Klang. Semua proses pada masa itu dilakukan di belakang rumah dengan bantuan 14 pekerja.


Oleh kerana semakin penat dengan tempahan yang banyak pada 1992, Noraini mengubah cara perniagaan dengan menjual kuih raya. Tahun pertama, banyak tempahan diterima sehingga memaksa dia mengambil empat pekerja untuk menghasilkan biskut raya.


"Alhamdulillah biskut saya mendapat sambutan. Bermula dengan dua biskut, lama-kelamaan berjenis-jenis biskut dihasilkan.


"Dari situ saya terfikir untuk menjalankan perniagaan biskut. Apatah lagi, risikonya tidaklah sehebat berniaga kuih basah. Walaupun bermusim, kepuasan dan penatnya berbaloi," jelasnya.

Sejak hari itu, Noraini menjalankan perniagaan biskut sehingga memasuki pasar raya besar seluruh negara. Ini membina keyakinan pelanggan sehingga dia mendaftarkan Noraini's Enterprise Sdn Bhd dengan memasarkan biskut di pasar raya, pasar malam dan pasar Ramadan.


Namun pada 1998, kegawatan ekonomi menyebabkan semua biskut yang dihasilkan tidak terjual sehingga Noraini kerugian besar.


Bagi menampung sumber kewangan, Noraini beralih kepada menjual perniagaan baulu dan kek di Plaza Angsana, Johor Bahru. Kemudian dia menubuhkan Noraini's Fresh Bake dengan menjual menu seperti roti jala, aneka laksa, mi dan nasi lemak.


"Bermula dari situ saya ilhamkan pula Noraini's Laksa Paradise dengan menghasilkan 11 produk antaranya asam pedas, kari ikan, sambal tumis, aneka laksa, rendang, mi bandung dan mi kari. Tahun lepas, syarikat kami menghantar produk ke Jepun dan diubahsuai dalam bentuk pes kepada serbuk. Idea ini saya dapat semasa menunaikan haji di Makkah kerana mahu menikmati pelbagai juadah secara mudah dan segera serta sedap," katanya.


Tidak cukup dengan itu, Noraini melangkah setapak lagi dengan menubuhkan Noraini's Farm House Sdn Bhd yang memasarkan produk rempah campuran. Lebih membanggakan apabila bahan mentah dihasilkan sendiri dengan adanya ladang seluas tiga ekar di Ijok, Perak yang ditanam dengan serai, lengkuas, halia dan beberapa sayuran lain.


"Kepelbagaian jualan ini membuatkan saya semakin bersemangat. Saya sentiasa berfikir mencari produk baru yang tidak ada di pasaran selain menggunakan teknik terkini menerusi pembelian mesin membuat biskut lebih canggih dan cepat. Penggunaan teknologi ini dapat mengurangkan pekerja dan menjimatkan kos," katanya yang kini sudah menghasilkan 50 jenis biskut di pasaran dan terus mencari pelbagai resipi.


Melihat perwatakan tegasnya, menurut Noraini, didikan keluarga sejak kecil banyak membentuk dirinya menjadi seperti sekarang. Sebagai anak tunggal perempuan, ayah sangat mementingkan disiplin dan peribadi manakala ibu sangat tegas mendidik dengan kerja di dapur yang diterapkan seawal usia lapan tahun. Sedikit sebanyak ini dapat membina keyakinan diri serta bersemangat melakukan apa sahaja diberikan keluarga.


"Sebagai anak perempuan tunggal, saya terbiasa dengan tugasan di dapur. Sungguhpun ayah seorang pendidik dan emak suri rumah sepenuh masa, mereka berdua pakar dalam bidang masakan.


"Apabila ada kenduri, merekalah yang dipanggil untuk memasak. Mungkin dari situ, saya mendapat tunjuk ajar berguna berkaitan ilmu masakan," katanya.


Sejak bertapak sehingga sekarang, banyak cabaran yang terpaksa dihadapinya terutama ketika berhadapan kegawatan ekonomi apatah pula, dengan suami yang sudah berhenti kerja serta tiada pengaliran wang tunai di tangan. Malah untuk mendapatkan pekerja tetap juga menjadi masalah besar.


"Bayangkan perasaan ketika itu apabila kami sudah biasa dengan pendapatan mencecah ribuan ringgit ditambah dengan kontena biskut yang tidak terjual, hanya Allah tempat kami menyerah.


"Pun begitu, saya tidak berputus asa. Selagi ada kudrat dan ilmu memasak serta sentiasa dikurniakan ilham dan idea, saya tetap teruskan," katanya.


Namun semua ini tidak akan berjaya tanpa kekuatan mental dan fizikal serta dorongan suami. Noraini percaya setiap yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya.


Perancangan pada masa depan adalah ingin mengembangkan perniagaan pada tahap yang lebih tinggi dan global. Ia perniagaan keluarga justeru Noraini mahu seluruh keluarga sama-sama membantu memberikan yang terbaik untuk perniagaan Noraini's Cookies.


Malah keputusan ketiga-tiga anak lelakinya yang sanggup meninggalkan kerjaya masing-masing bagi menguruskan perniagaan nyata keputusan yang sangat membanggakan

Metro
2010/05/25

"REZEKI" rezeki bukannya datang bergolek, kita sebagi umat perlu berusaha dengan kudrat yang telah diberikan oleh Allah. Kejayaan juga bukannya dapat dicapai dengan jalan yang singkat, 24 tahun bukannya satu jangka masa yang pendek. Sekarang ni ramai umat yang inginkan kekayaan dengan jalan yang mudah dan cepat sebab tu ramai tertipu dengan janji yang diberi. Bila dah kena barulah nak bising, nak saman itu dan ini. Jadi sama-samalah kita renungkan kejayaan yang dirais oleh Pn Noraini ini dan sama-sama kita doakan yang terbaik untuk mereka selalu berusaha untuk kebaikan. Amin.....renung-renungkanlah...........
0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails