G-HAIR

KUALA LUMPUR: Kerana ingin mengaut keuntungan, ada pengusaha kafe siber di ibu kota membenarkan pelajar yang berpakaian seragam sekolah memasuki premis perniagaan mereka walaupun menyedari ia menyalahi undang-undang.

KUMPUL...pelajar berpakaian seragam sekolah di depan sebuah kafe siber di Jalan Ipoh.
KUMPUL...pelajar berpakaian seragam sekolah di depan sebuah kafe siber di Jalan Ipoh.
Tinjauan Metroplus di beberapa kafe siber mendapati premis berkenaan membenarkan pelajar yang memakai uniform sekolah memasuki premis itu sewenang-wenangnya.


Tinjauan di kafe siber di Jalan Ipoh di sini, jam 1 tengah hari hingga 2 petang, baru-baru ini mendapati kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada pelajar dengan majoritinya memakai pakaian seragam sekolah menengah.


Ketika tinjauan, kebanyakan pelajar asyik bermain permainan video dengan ada antara kafe siber mengenakan bayaran RM2 satu jam. Tidak ketinggalan, mereka turut menawarkan pakej istimewa dengan harga RM5 (tiga jam), RM7 (lima jam), RM8 (lapan jam) dan RM10 untuk 10 jam.


Difahamkan, terdapat lima sekolah iaitu masing-masing dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di kawasan berkenaan. Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai P K Chong, 38, berkata, hampir setiap hari dia melihat pelajar yang memakai seragam sekolah memasuki kafe siber sama ada berkumpulan mahu pun seorang diri.


Menurutnya, seawal jam 10 pagi kafe siber terbabit dikunjungi pelajar sekolah. Ada kalanya, mereka berkumpul di depan kafe siber sebelum memasuki pusat Internet berkenaan.


“Saya sering melihat pelajar keluar dan masuk ke dalam kafe siber terbabit. “Ada antara kafe siber terbabit pernah diserbu polis dan pihak sekolah, tetapi semuanya bersifat sementara apabila mereka terus membenarkan pelajar yang memakai seragam sekolah memasuki premis mereka,” katanya.


Chong berkata, isu ini tidak sewajarnya dipandang ringan dengan pemantauan pihak berkaitan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya tidak menimbulkan gejala sosial pada kemudian hari.


Malah, katanya, kehadiran mereka bukan hanya membuang masa, tetapi membazir wang memandangkan kebanyakan mereka menghabiskan masa bermain permainan video dengan ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak mereka.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihak kafe siber tidak sewajarnya hanya mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira tanggungjawab mereka kepada masyarakat.


Beliau berkata, isu pelajar memakai seragam sekolah memasuki kafe siber tidak seharusnya berterusan kerana ia memberi kesan buruk kepada pelajar.


Dalam hal ini, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengenakan tindakan tegas seperti menggantung lesen kafe siber yang membenarkan pelajar memakai seragam sekolah memasuki premis mereka.


“Tindakan drastik dan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan guru sangat diperlukan selain kesedaran pelajar itu sendiri.

“Selain membazir wang dan masa, kami bimbang masalah ini akan memberi kesan kepada peningkatan kes sosial membabitkan pelajar,” katanya ketika dihubungi. Metro 2010/05/21


Sipakah yang perlu dipertanggungjawabkan apabila keadaan ini berlaku, adakah pihak sekolah tidak terlibat? adakah pihak penguatkuasa tidak buat kerja? adakah ibubapa lalai dalam mendidik atau mengambilberat tentang kehidupan anak-anak mereka? Masing-masing ada peranan mereka tersendiri dan harus diingat soalan yang akan diajukan diakhirat nanti lagi berat dari di dunia ini jadi sama-samalah kita yang telah diberikan amanah dalam menjaga harta Allah bertindak dengan bijak agar tidak dihukum diakhirat nanti dengan perkara yang kita rasakan tidak begitu berat.....renung-renungkanlah.........

0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails