AMPANG: Tidak bertanggungjawab! Itu ungkapan sesuai bagi individu yang tanpa segan silu membawa troli beli-belah milik sebuah pasar raya besar di sini, sehingga ke kawasan rumah mereka di sekitar bandar ini, tanpa memulangkannya semula.
TERBIAR...troli diletakkan di tepi jalan mengundang bahaya kepada pemandu.
TAK MALU...seorang penduduk membawa troli ke kawasan perumahan Kampung Pandan.
Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan, mendapati beberapa troli diletakkan di tepi jalan raya berhampiran pasar raya berkenaan, malahan ada troli dibawa sehingga kawasan kondominium berdekatan dan kawasan perumahan di Pandan Jaya yang terletak kira-kira satu kilometer dari pasar raya itu.
Difahamkan, setiap pagi, pekerja akan meronda sekitar kawasan Pandan Jaya dan Desa Pandan dengan menaiki lori untuk memungut troli yang dibiarkan bersepah sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Seorang pekerja enggan dikenali berkata, terdapat penduduk yang berdegil dan tidak menghiraukan teguran daripada pengurusan pasar raya supaya tidak membawa troli ke luar kawasan gedung berkenaan.
“Bila kita tegur, mereka akan naik angin dan menuduh kita menafikan hak mereka walaupun tindakan mereka sebenarnya satu kesalahan dan amat mementingkan diri sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya sukar untuk pekerja memantau semua pelanggan yang menggunakan troli disediakan pasar raya berkenaan kerana jumlah mereka terlalu ramai.
Difahamkan, kebanyakan individu terbabit dengan selamba menolak troli yang sarat dengan barangan yang dibeli dan keluar dari kawasan pasar raya besar berkenaan tanpa rasa bersalah atau malu.
Penduduk, Maznah Ramli, 58, berkata penduduk sekitar Kampung Pandan yang berkelakuan sedemikian terutama warga asing yang semakin ramai di kawasan itu, mengamalkan sikap lepas tangan dan mementingkan diri sendiri.
“Sepatutnya mereka lebih bertanggungjawab dan menghantar semula troli itu dan bukan dibiarkan bersepah di sekitar kawasan perumahan, lagipun bukannya banyak sangat troli yang disediakan, kalau semua bawa balik rumah, entah bagaimana nasib pengguna yang lain,” katanya.
Penduduk, Zainuddin Zamani, 28, berkata keadaan menjadi lebih teruk setiap kali menjelang Sabtu disebabkan kempen hari tanpa plastik yang dilancarkan kerajaan negeri, baru-baru ini.
“Kebanyakan pelanggan enggan membeli beg plastik dan lebih gemar membawa troli sehingga sampai ke rumah, walaupun rumah mereka terletak agak jauh dari kawasan pasar raya besar itu,” katanya yang menetap di Pandan Jaya.
Selain itu, menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu berkenaan mendatangkan bahaya kepada masyarakat setempat, terutama membabitkan keselamatan jalan raya.
“Troli dibiarkan di tepi jalan raya bukan saja mengundang bahaya kepada pemandu, malahan kanak-kanak yang gemar bermain dengan troli berkenaan boleh menyebabkan kecelakaan jalan raya,” katanya.
Sementara itu, jurucakap pasar raya besar berkenaan, ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa mementingkan kemudahan dan keselesaan pengguna, bagaimanapun beliau berharap penduduk sekitar kawasan berkenaan dapat memulangkan semula troli selepas digunakan.
“Masalah ini sudah lama berlarutan dan setakat ini, masih belum ada penyelesaian kerana pihak kami amat mementingkan keselesaan pengguna, kami cuma berharap penduduk sekitar yang menjadi pelanggan dapat mengubah sikap mereka dan menjadi lebih bertanggungjawab selepas ini,” katanya.
Post a Comment