"KAMI tidak makan sejak tiga hari lalu." Kata-kata seorang penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Tal Al Sultan di Rafah masih terngiang-ngiang di telinga Dr. Jamnul Azhar Mulkan.
Biarpun kejadian itu berlaku lebih setahun yang lalu, namun jawapan kanak-kanak itu membuka matanya terhadap kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Pada masa itu, beliau dan para sukarelawan Misi Keamanan Palestin 2009 sedang melakukan lawatan ke rumah kebajikan yang menempatkan kira-kira 200 orang penghuni.
Jamnul tidak dapat melupakan bagaimana kanak-kanak itu sanggup berbohong di hadapan sukarelawan bagi menyembunyikan kesengsaraannya.
|
|
"Saya bertanya sama ada mereka sudah makan? Rata-rata menjawab sudah, tiba-tiba seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan lima tahun menghampiri saya lalu berbisik mereka tidak makan sejak tiga hari lalu," katanya.
Mendengar jawapan itu, beliau berlari ke kenderaan dan mengambil gula-gula yang sempat dibeli ketika tiba di Mesir.
"Kami hanya mampu memberi mereka gula-gula kerana konvoi makanan telah dihalang memasuki Gaza oleh kerajaan Mesir. Walaupun tidak mengenyangkan namun ia sudah cukup menceriakan mereka," katanya yang terharu mengenangkan peristiwa itu.
Malah Jamnul juga tidak dapat melupakan kata-kata seorang remaja Palestin yang beliau temui ketika cuba menghulurkan sedikit wang kepadanya.
"Kami tidak mahukan wang anda. Apa yang kami mahu ialah sokongan dan bantuan daripada negara-negara Islam untuk membantu perjuangan dan membangunkan semula negara kami," kata seorang remaja yang kecewa dengan nasib mereka yang diperkotak-katikkan oleh rejim Zionis Israel.
Serangan besar-besaran
Perbualan singkat dengan remaja itu membuka matanya terhadap realiti kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Palestin lebih-lebih lagi memikirkan masa depan anak-anak yatim di rumah itu yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.
Bercerita mengenai misi yang dijalankan oleh Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) pada 21 Januari 2009 itu membawa pelbagai barangan asas seperti makanan dan perubatan untuk rakyat di wilayah yang mengalami krisis kemanusiaan selepas dikenakan sekatan oleh rejim Zionis sejak Hamas memenangi pilihan raya pada tahun 2006.
Ia disertai kira-kira 13 sukarelawan, petugas media termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Rombongan tersebut tiba selepas serangan besar-besaran rejim itu yang mengorbankan kira-kira 1,400 orang rakyat Palestin dan 13 warga Israel.
Biarpun berdepan dengan kerenah birokrasi yang ketat ketika tiba di pintu masuk sempadan termasuk terpaksa menunggu hampir lapan jam, para sukarelawan akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Gaza.
|
|
Menceritakan saat sukar di sana, beliau bersama sukarelawan lain terlibat dalam pembedahan bagi menyelamatkan mangsa perang di Hospital Darul Syifa di Gaza.
"Semua wad penuh dengan mangsa pengeboman tapi kepakaran doktor dan peralatan tak cukup, banyak pesakit tak dapat melepasi sempadan kerana ditahan dan terpaksa duduk dalam ambulans selama dua hari sebelum dihantar ke hospital," katanya.
Kekejaman rejim Zionis jelas terserlah apabila menjadikan orang awam sebagai mangsa malah mereka juga menggunakan peluru fosforus putih bagi menghancurkan pejuang Hamas.
Apabila kelongsong peluru dikeluarkan fosforus putih yang terdedah kepada oksigen akan terbakar sehingga mengakibatkan daging dan kulit pesakit luruh dengan sendirinya.
|
|
Mengakui pertama kali berhadapan situasi itu, pakar perubatan terpaksa menggunakan air zam zam untuk memadamkan api pada luka berkenaan dan mengurangkan penderitaan pesakit.
"Kesudahannya ialah kaki atau tangan pesakit terpaksa dipotong, mereka yang cedera parah pula rata-ratanya mempunyai peluang tipis untuk hidup," ujarnya.
Bom hospital
Sepanjang berada di hospital itu, para sukarelawan juga berdepan dengan situasi mencemaskan apabila hospital itu dibom oleh pihak rejim yang mengakibatkan 12 kematian orang awam.
Bagaimanapun kesemua mereka terselamat dan sempat keluar dari bangunan itu yang menyasarkan sebuah makmal perubatan.
Beliau menambah, tentera Zionis turut bertindak kejam apabila memusnahkan stor makanan milik Persatuan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ladang ternakan dan tanaman yang diusahakan oleh rakyat Palestin dengan kereta kebal.
"Ini merupakan taktik halus mereka bagi memastikan rakyat Palestin yang dikenakan sekatan sebelum ini terputus bekalan makanan.
"Pada masa yang sama, bekalan air bersih juga sering terputus menyebabkan mereka terpaksa menggali air bawah tanah bagi mendapatkan sumber berkenaan," ujarnya yang kagum dengan perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah luntur.
Perbualan beliau dengan Pengarah Hospital Darul Syifa, Dr. Jaafar Abd. Tayib ketika itu menemukannya dengan satu fenomena luar biasa sebagai bukti kekuasaan Allah.
Beliau diberitahu sebelum serangan besar-besaran pada Disember 2008, kadar kelahiran di Gaza mencatatkan pe ningkatan iaitu sekitar 3,000 hingga 4,000 orang setahun.
"Bagaimanapun pada Januari 2009 kadar kelahiran yang dicatatkan menyamai jumlah dalam tempoh setahun, malah rata-ratanya pula ialah bayi lelaki.
"Ia merupakan satu keajaiban, kita tahu bayi-bayi lelaki ini akan membesar dan kemudiannya bakal menjadi pejuang seperti pejuang-pejuang lain yang mati syahid dalam mempertahankan negara mereka," katanya.
Bagaimanapun, para sukarelawan terpaksa keluar dari Gaza berikutan ancaman tentera Israel yang dikatakan mahu memusnahkan terowong yang menghubungkan Palestin ke Mesir.
Walaupun berat hati, mereka terpaksa mengambil keputusan yang menyedihkan itu atas dasar keselamatan kerana mendapat perkhabaran Israel mula menyerang kawasan sempadan.
"Biarpun perjalanan kami agak singkat, pengalaman yang dilalui cukup menginsafkan, apa yang lebih penting kami mahu menyampaikan kekejaman yang berlaku kepada masyarakat di luar sana," katanyaRenung-renungkanlah
Post a Comment